• 2025-10-16 08:37 PM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 545 individu termasuk 180 warga asing berusia 30 hingga 60 tahun berjaya diselamatkan sejak inisiatif bersepadu menangani isu gelandangan di ibu negara.

Operasi KL Strike Force dilaksanakan dari bulan Februari hingga pagi tadi dengan memasuki siri keenam tahun ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Che Samsuzuki Che Noh berkata operasi itu menumpukan lokasi strategik di pusat bandar termasuk stesen pengangkutan dan pusat komersial.

Sebanyak 16 hotspot gelandangan telah dikenal pasti seperti jejantas UTC Pudu, Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid Jamek dan Jalan Imbi.

“Hasil pelaksanaan ini diharap dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif serta menjaga imej negara pada mata masyarakat antarabangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi awal pagi tadi.

Beliau turut mengakui isu gelandangan memerlukan pendekatan berterusan kerana sebahagian kes berulang berpunca daripada kurang sokongan keluarga atau masalah sosial lain.

“Dari segi makan minum, pakaian dan keperluan asas, mereka sebenarnya tidak terabai tetapi aspek keselamatan, kesihatan dan imej negara, ini yang perlu ditangani bersama,” katanya.

Setiap individu yang diselamatkan akan melalui proses saringan daripada pelbagai agensi yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Kesihatan dan Agensi Antidadah Kebangsaan.

Dalam siri keenam operasi yang berlangsung dari 10 malam hingga 8 pagi tadi, sebanyak 101 individu diselamatkan termasuk 27 warga asing.

Antara mereka ialah Kumar, 59, dan Daud, 45, yang terpaksa menjadi gelandangan kerana pendapatan tidak menentu dan tiada kemampuan mendapatkan tempat tinggal lebih baik.

“Malam ni saya bersyukur JKM datang bantu... sekurang-kurangnya saya tidak perlu lagi tidur di kaki lima dan diberi peluang untuk kerja baharu,” kata Kumar yang berasal dari Kuala Selangor dan kini tidak bekerja.

Daud dari Perak pula berkata hidupnya berubah selepas ditinggalkan rakan yang datang bersamanya ke ibu kota sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

“Saya pernah kerja kontrak, lepas itu kutip tin sebab tiada pilihan... pernah juga ditahan sebab tidur depan kedai, tapi bila negatif ujian air kencing saya dilepaskan, saya harap kali ini bantuan JKM boleh ubah hidup saya,” katanya penuh harapan. – Bernama