SANDAKAN: Jabatan Imigresen telah bertindak mengusir 650 pendatang tanpa izin warga Filipina yang ditahan di Depot Papar dengan menghantar mereka pulang ke negara asal.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embak Taha berkata kesemua pati berumur lingkungan satu hingga 82 tahun itu dihantar melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan kapal MV Antonia 1.

Beliau berkata kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang itu berada dengan ibu bapa dan penjaga masing-masing dan setakat hari ini, seramai 3,418 tahanan warga Filpina telah diusir ke negara asal melibatkan pengangkutan laut serta udara.

“Kekerapan proses penghantaran pulang tahanan pendatang tanpa izin juga tertakluk kepada pihak Kedutaan Filipina dalam mempercepat proses dokumentasi dan mengeluarkan dokumen perjalanan bagi membolehkan tahanan terlibat pulang ke negara asal,“ katanya pada sidang media di sini.

Jafri Embak berkata majikan yang menggaji pekerja asing turut diingatkan untuk memastikan mereka mempunyai pas sah untuk bekerja di Sabah.

Beliau berkata individu yang memegang pas lawatan sosial bagi tujuan melancong juga diingatkan agar tidak menyalahgunakan pas sehingga boleh menyebabkan mereka didakwa dan disenarai hitam sekiranya melanggar syarat-syarat pas yang ditetapkan.

Open Two Websites with Image

Clickable Image