• 2025-09-05 02:39 PM
78,883 lepasan STPM dan setaraf ditawarkan ke universiti awam

PUTRAJAYA: Seramai 78,883 calon lepasan Matrikulasi, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta Diploma atau setaraf telah berjaya ditawarkan tempat untuk melanjutkan pengajian di universiti awam melalui sistem UPUOnline tahun ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan jumlah ini mewakili 71.80% daripada keseluruhan 109,866 permohonan yang diterima oleh sistem tersebut.

Sebanyak 1,132 program pengajian Ijazah Sarjana Muda telah ditawarkan dengan pemilihan pelajar dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi.

Calon yang tidak berjaya mendapatkan tawaran tempat pengajian boleh membuat rayuan melalui UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula tengah hari ini hingga 5 petang 14 September.

Kementerian Pendidikan Tinggi mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan berharap peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya. – Bernama