SIBU: Markas Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) menafikan sebarang kaitan dengan satu surat permohonan peruntukan bagi jamuan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Sarawak.
Surat kononnya dijadual berlangsung di Dewan Suarah Sarikei itu didapati tidak mempunyai kaitan dengan pihak briged tersebut.
Dalam satu kenyataan, 9 Briged memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang bertanggungjawab mengeluarkan surat berkenaan.
Surat bertarikh 26 Ogos itu kononnya daripada Pengarah Unit Kewangan Kementerian Pertahanan, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur dengan tajuk “Permohonan Peruntukan Kewangan Bagi Program Jamuan Makan Sempena Merdeka 2025”.
Dokumen tersebut turut ditandatangani atas nama “Staff Sarjan Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim (Ketua RAMD), Kem Tentera Rejimen 510 Askar Wataniah, Kem Sri Rejang” dengan permintaan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk membiayai program tersebut.
“9 Briged telah menerima empat laporan berhubung surat permohonan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Panglima 9 Briged Brig Jen Jafri Sulaiman menyeru mana-mana pihak yang menerima surat tersebut supaya menghubungi pihaknya dan membuat laporan polis dengan segera.
Langkah ini penting untuk mencegah jenayah penipuan (scam) yang semakin berleluasa serta menjaga nama baik Tentera Darat Malaysia dan agensi awam yang lain. – Bernama