• 2025-08-27 06:02 PM

SUBANG JAYA: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat pulang ke Brunei hari ini selepas mengakhiri lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari bermula Isnin.

Pesawat khas membawa Sultan Hassanal Bolkiah bersama delegasi termasuk Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan Brunei berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada 3.05 petang.

Hadir mengiringi keberangkatan pulang baginda serta delegasi ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Lawatan Negara Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Semalam, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke istiadat sambutan negara di Istana Negara.

Selepas istiadat itu, Sultan Brunei berkenan mengadakan pertemuan dengan Sultan Ibrahim yang antara lain menyentuh mengenai hubungan dua hala erat antara Malaysia dan Brunei yang telah lama terjalin.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan perbincangan sempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-26 di Seri Perdana, Putrajaya.

Perdana Menteri juga meraikan Sultan Hassanal Bolkiah bersama delegasi baginda pada majlis santapan tengah hari rasmi di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 11.25 pagi.

Pada 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM7.53 bilion (USD1.77 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 pula, jumlah dagangan Malaysia-Brunei mencecah USD690 juta (RM3.02 bilion), dengan eksport berjumlah USD500 juta (RM2.18 bilion) dan import USD190 juta (RM840 juta).