KUALA LUMPUR: Polis menahan ibu bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang meninggal dunia di Hospital Tunku Azizah, di sini Sabtu lepas, dipercayai akibat didera dan diabaikan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata pasangan suami usteri yang berusia 30-an itu direman hingga 13 Dis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak

“Bapa kanak-kanak berkenaan bekerja sebagai rider p-hailing, manakala ibunya seorang suri rumah. Pasangan ini turut mempunyai dua lagi anak berumur tiga dan tujuh tahun yang berada dalam keadaan sihat, dan kedua-duanya telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk jagaan sementara,“ katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Balai Polis Setiawangsa yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Seri Aidi Ismail.

Sabtu lepas seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah, dipercayai akibat didera dan diabaikan oleh penjaganya di sebuah flat perumahan di Bandar Tun Razak.

Hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak itu menghadapi beberapa masalah kesihatan berikutan dilahirkan pramatang, dan meninggal dunia disebabkan kekurangan nutrisi (malnourished).

Sementara itu mengulas mengenai perlawanan final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) malam ini, Allaudeen menasihatkan penyokong kedua-dua pasukan untuk tidak membuat kecoh sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

Beliau berkata tindakan yang tegas akan dikenakan terhadap mana-mana penyokong yang mencetuskan kekecohan malam ini.–Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image