KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru rakyat supaya tidak melupakan jasa para pejuang tanah air yang telah berkorban demi kemerdekaan dan keamanan negara.
Beliau menekankan bahawa keamanan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan generasi terdahulu.
“Kita mesti sedar bahawa segala kenikmatan yang kita warisi ini tidak diperoleh dengan mudah. Ia hasil perjuangan berterusan yang mengorbankan jiwa dan raga para pahlawan,“ katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempena Majlis Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Tugu Pahlawan.
Abang Johari menegaskan bahawa Hari Pahlawan adalah masa untuk mengenang jasa wira negara yang berjuang sebelum dan selepas kemerdekaan.
“Simboliknya, hari ini mengingatkan kita tentang pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara,“ ujarnya.
Beliau turut menggesa rakyat mendoakan kesejahteraan pejuang negara serta keluarga mereka.
“Nikmat yang kita kecapi hari ini adalah hasil pengorbanan mereka, satu anugerah Ilahi yang tidak ternilai,“ tambahnya.
Majlis tersebut turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Abdullah Saidol. – Bernama