SEPANG: Penumpang yang menggunakan Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang kembali beroperasi hari ini memuji peningkatan ketara dari segi keselesaan, kecekapan, dan reka bentuk berbanding versi lama.
Syazwan Misbah, 32, salah seorang penumpang, berkata pengalaman menaiki tren baharu ini jauh lebih menarik berkat suasana dalaman yang moden dan berhawa dingin.
“Saya rasa tren baharu ini lagi efisien sebab kalau kita tengok pun dia ‘non-stop’ setiap dua minit dan kita tak perlu tunggu lama. Berbanding naik bas yang agak susah dan penumpang kena jalan jauh, kalau naik ini (aerotrain baharu) dah dekat (dengan bangunan satelit),“ katanya.
Perkhidmatan tren tanpa pemandu ini mula beroperasi semula pagi ini selepas menjalani naik taraf bernilai RM456 juta, sebahagian daripada inisiatif transformasi KLIA berjumlah RM742 juta untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab penerbangan bertaraf dunia.
Nazihah Abdullah, 35, dari Kuala Lumpur yang dalam perjalanan ke India turut memuji keselesaan tren baharu ini.
“Ruang tren sekarang lagi selesa, luas dan ada paparan yang jelas. Tren lama dulu tak ada paparan macam ini,“ katanya sambil menambah tempoh menunggu tidak terlalu lama dengan perjalanan hanya mengambil masa kurang tiga minit.
Dr Inglish Huang dari Taiwan menganggap dirinya bertuah kerana berpeluang merasai pengalaman hari pertama pelancaran semula Aerotrain.
“Sebelum ini, kami bergantung kepada bas transit dan terpaksa menunggu lama, tetapi kini kami bertuah kerana ada kemudahan aeotrain. Penyaman udaranya berfungsi dengan baik, selain sangat cepat dan efisien,“ katanya.
Aerotrain KLIA, yang menjadi ikon sejak 1998, kini dilengkapi tren Alstom Innovia APM 300R dengan kapasiti 270 penumpang dan kelajuan maksimum 56 km/j. Sistem pemantauan canggih turut dipasang bagi mengurangkan gangguan operasi dan meningkatkan keselesaan pengguna.