KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima watikah pelantikan enam ketua perwakilan asing ke Malaysia, di Istana Negara hari ini.

Ketua perwakilan asing berkenaan ialah Radames Jesus Gomez Azuaje dari Venezuela, Shikata Noriyuki (Jepun), Chantal Gaby Moser (Switzerland) dan Dr Netra Prasad Timsina (Nepal).

Sultan Ibrahim turut berkenan menerima watikah pelantikan daripada Etueni Qiolele Caucau dari Republik Fiji dan Michael Wehi Mailetonga Walsh dari New Zealand.

Pada istiadat itu juga, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Ganeson Sivagurunathan.

Hadir sama pada istiadat berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Luar Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani.