• 2025-07-30 07:32 PM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Masjid Negara, di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada kira-kira 5.30 petang disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

Antara kenamaan yang hadir ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama lebih 2,000 jemaah terdiri daripada penjawat awam, wakil agensi kerajaan dan pelajar sekolah tahfiz.

Majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah juga berkenan meluangkan masa bersalaman dengan orang ramai yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis kira-kira 6 petang.

Sambutan Hari Pahlawan diraikan pada 31 Julai setiap tahun bertujuan mengenang jasa pahlawan negara, selain menyemai semangat patriotisme dan cinta akan tanah air dalam kalangan rakyat Malaysia.