• 2025-09-05 11:19 AM

SERDANG: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada pukul 9.26 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Seri Paduka Baginda mengurniakan Anugerah Perdana Maulidur Rasul kepada seorang tokoh unggul serta enam penerima Anugerah Maulidur Rasul sebagai pengiktirafan sumbangan mereka.

Majlis bertemakan “Membangun Ummah MADANI” itu dihadiri hampir 10,000 tetamu.

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini menekankan kepentingan meneladani kepimpinan Rasulullah SAW yang berpaksikan keadilan dan ihsan.

Perjalanan hijrah dan Piagam Madinah menjadi inspirasi kepada konsep Ummah MADANI selari dengan komitmen kerajaan.

Keunikan sambutan tahun ini memperlihatkan replika Masjid Quba yang dibina Rasulullah SAW semasa hijrah.

Seni bina masjid itu mencerminkan keindahan fizikal dan membawa simbolik kerohanian, keadilan serta nilai ihsan.

Sambutan Maulidur Rasul SAW merupakan acara rasmi kerajaan yang disambut setiap tahun di peringkat Persekutuan dan negeri.

Ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.

Seramai 6,165 orang daripada 120 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta menyertai perarakan dengan alunan selawat. – Bernama