TUMPAT: Agrobank memperkenalkan penggunaan kod DuitNow QR di Pulau Sri Tanjung di sini sebagai kaedah pembayaran tanpa tunai bagi memastikan penyertaan inklusif komuniti luar bandar dalam ekonomi digital selain memodenkan perniagaan tradisional di kawasan itu.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata inisiatif itu menyokong pembangunan ekonomi dengan menyediakan kemudahan pembayaran digital kepada penjaja tempatan, sekali gus menghubungkan komuniti pulau terpencil dengan perkhidmatan kewangan arus perdana selain mengurangkan risiko pengendalian wang tunai.

“Kami transformasikan Pulau Sri Tanjung ini sebagai wilayah pertama di bawah Agrobank yang melaksanakan inisiatif ini kerana mahu beri penekanan penggunaan kod DuitNow QR sebagai kaedah utama pembayaran tanpa tunai.

“Kaedah pembayaran digital ini berpotensi menarik lebih ramai pelancong dan mengukuhkan daya tarikan Pulau Sri Tanjung sebagai destinasi pelancongan serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Wilayah Agrobank Pulau Sri Tanjung di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Fahmi Faiz Fadzil.

Penggunaan kod DuitNow QR oleh Agrobank itu sejajar dengan agenda Bank Negara Malaysia melalui inisiatif e-Duit Desa serta kerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) selaku penyedia infrastruktur pembayaran negara dan pengendali platform DuitNow QR.

Mengulas selanjutnya, Tengku Ahmad Badli Shah berkata setakat ini pihaknya telah membantu 60 penjaja di pulau itu untuk membuka akaun perbankan Agrobank, selain menawarkan kemudahan pembiayaan seperti Ar-Rahnu, Hartani-i, AgroCash-i, Takaful Kasih dan pembiayaan mikro.

Inisiatif itu turut memberi manfaat kepada 450 nelayan di pesisir pantai untuk menikmati kemudahan transaksi perbankan digital.

“Bagi memastikan perkembangan Pulau Sri Tanjung, Agrobank akan melaksanakan beberapa inisiatif berterusan termasuk mengenal pasti dan melantik ejen perbankan tempatan bagi kemudahan akses kepada perkhidmatan kewangan untuk penduduk setempat.

“Agrobank turut menyediakan khidmat nasihat kewangan yang menyeluruh kepada para nelayan, khususnya berkaitan kemudahan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya.

Sementara itu, peniaga pisang keju dan popia Nur Aina Nabila Abdullah, 27, berkata inisiatif Agrobank itu banyak membantu peniaga tempatan dalam memudahkan urusan jual beli.

“Ada pengunjung bertanyakan kod QR ini ketika mahu membayar kerana sebelum ini saya tidak menyediakan bayaran secara dalam talian.

“Transaksi secara dalam talian ini sebenarnya memudahkan urusan jual beli dan menjamin keselamatan peniaga,” katanya.