• 2025-08-11 06:54 PM

GEORGE TOWN: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tanjong mengedarkan 1,600 Jalur Gemilang kepada 21 sekolah dalam kawasan Parlimen itu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

Sebanyak 6,000 Jalur Gemilang bersaiz kecil turut diedarkan kepada pelajar di kawasan Parlimen berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying menyempurnakan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat Daerah Kawasan Parlimen Tanjong.

Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong menyeru semua sekolah mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga.

Beliau menegaskan bendera bukan sekadar hiasan tetapi simbol semangat, harapan dan tanggungjawab generasi muda.

“Biarlah setiap sudut dihiasi warna Jalur Gemilang sebagai lambang kesatuan hati dan kecintaan kepada negara,“ katanya.

Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan STPM 2024 turut diadakan dengan 28 calon menerima insentif berjumlah RM10,600.

Dua pelajar memperoleh PNGK 4.0 dari Kolej Tingkatan Enam Hutchings dan SMKA Al-Mashoor Perempuan.

Lim berkata insentif ini menghargai usaha, pengorbanan dan kerja keras pelajar serta peranan ibu bapa dan guru- BERNAMA