KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah atas tuduhan menipu seorang individu dengan meminta wang RM6,000 bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.
Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah untuk memberikan keterangan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki menawarkan bantuan kepada pengadu untuk mendapatkan gelaran Datuk dari negeri Pahang pada 2023, walaupun beliau tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
“Suspek dipercayai telah mendorong pengadu secara tidak jujur untuk memindahkan wang RM6,000, kononnya bagi pembelian aksesori baju istiadat yang diperlukan untuk mendapatkan darjah kebesaran tersebut,“ katanya.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy mengesahkan penangkapan itu dan memaklumkan suspek telah dibebaskan dengan jaminan setelah membayar deposit tunai RM5,000 daripada jumlah jaminan RM10,000 yang dikenakan.
Beliau menambah bahawa suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. - Bernama