KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan Hari Bapa hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua insan bergelar bapa atas pengorbanan dan kasih sayang yang tidak ternilai.
Ahmad Zahid dan Fadillah menggambarkan figura bapa sebagai “Kapten Keluarga” yang menjadi tonggak utama dalam membentuk kekuatan keluarga dan masyarakat.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata sebagai seorang bapa, beliau amat memahami bahawa kasih sayang ayah tidak selalu dizahirkan melalui kata-kata, tetapi hadir dalam setiap usaha, doa dan penat lelah yang jarang sekali dipertontonkan.
“Di sebalik wajah yang tenang dan langkah yang gagah, seorang bapa menyimpan seribu satu pengorbanan. Tidak banyak berkata, namun sentiasa melindungi dan terus menyara keluarga dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang.
“Kepada semua lelaki yang memikul peranan sebagai ayah, datuk, bapa saudara, atau apa jua figura bapa dalam kehidupan masyarakat, andalah nakhoda yang mengemudi keluarga merentasi cabaran hidup. Andalah nadi kekuatan keluarga dan tulang belakang negara,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengajak semua untuk menghargai jasa dan pengorbanan seorang bapa, dengan memeluk mereka selagi masih ada dan menitipkan doa penuh kasih buat mereka yang telah pergi.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan di Facebook, Fadillah berkata tema sambutan Hari Bapa tahun ini “Ayahku Kapten Keluarga” menggambarkan pentingnya peranan seorang ayah yang merupakan individu penting dan tonggak dalam sesebuah keluarga.
Beliau berkata sebagai ketua keluarga, seorang bapa sentiasa mahukan keluarganya dilindungi, hidup bahagia dan sempurna, walaupun dirinya terpaksa berkorban jiwa raga.
“Bapa juga contoh teladan dalam pembentukan karakter dan keperibadian anak-anak. Seperti juga kasih ibu, kasih sayang setiap bapa tanpa syarat. Pengorbanan mereka tanpa batas dan tanpa mengharap sebarang balasan,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dalam konteks Islam, penghargaan terhadap ibu bapa khususnya bapa, mempunyai kedudukan yang tinggi seperti yang dijelaskan melalui ayat-ayat al-Quran, sekali gus membuktikan betapa pentingnya berbuat baik dan berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa.
“Semoga Allah SWT menjadikan kita anak-anak yang soleh dan solehah, sentiasa berbakti kepada kedua-dua orang tua kita, sama ada ketika hayat mereka, mahupun setelah mereka tiada. Selamat Hari Bapa,” katanya.