• 2025-07-06 05:27 PM

LUMUT: UMNO perlu memenuhi empat prasyarat utama bagi memastikan kejayaan menawan semula kerusi Parlimen Lumut serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pangkor dan Pasir Panjang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa prasyarat pertama ialah kesatuan dan penyatuan dalam kalangan ahli UMNO Bahagian Lumut.

Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama erat dengan komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC.

“Tiada ruang untuk perpecahan. Musuh politik kita tidaklah kuat tetapi kelemahanan dalaman akibat hilangnya keyakinan terhadap parti sendiri telah melemahkan perjuangan kita,“ katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lumut 2025.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menambah bahawa budaya lama seperti sikap saling menyalahkan dan tidak bersatu perlu dihentikan.

“Penyatuan UMNO Bahagian Lumut adalah prasyarat utama untuk kemenangan,“ tegasnya.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan pendekatan digital dalam kempen pilihan raya. “Media sosial kini medan perjuangan baharu.

“Pemuda dan Puteri UMNO perlu menjadi juara naratif digital dengan pendekatan yang berhemah dan relevan,“ ujarnya.

Menurut Ahmad Zahid, PRU16 adalah peluang terakhir untuk UMNO merampas semula ketiga-tiga kerusi di Lumut. “Jangan sesekali mensia-siakannya,“ pesannya. – Bernama