BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 10,200 liter minyak diesel bernilai RM30,600 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M Nasir menyatakan rampasan dilakukan selepas pemeriksaan ke atas tiga lori treler dan tiga pikap.
Pemeriksaan mendapati minyak diesel bersubsidi disembunyikan dalam tangki yang diubah suai pada semua kenderaan tersebut.
“Tiga lori semi treler ditahan di laluan keluar kenderaan berat selepas melepasi pemeriksaan kastam ketika menuju ke Thailand pada 8.45 pagi,” katanya.
Tiga pikap pula ditahan lebih awal pada jam 7.30 pagi di laluan keluar Malaysia selepas melepasi pemeriksaan imigresen.
Kesemua kenderaan ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan mencecah RM380,600.
Mohd Nasaruddin turut memaklumkan bahawa semua pemandu kenderaan terlibat berusia 40-an hingga 60-an telah ditahan.
Beliau percaya sindiket ini membawa keluar bahan api bersubsidi untuk dikumpul di negara jiran sebelum dijual semula ke Myanmar.
“Minyak diesel mungkin diambil di stesen minyak atau stor industri dalam Malaysia,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, AKPS mengeluarkan 21 Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap warga asing yang disyaki bukan pelancong tulen.
Notis tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1969/63.
Mereka terdiri daripada empat lelaki warga China, dua lelaki dan 13 perempuan warga Thailand, seorang lelaki warga India, serta seorang lelaki warga Pakistan.
“Kesemua diarahkan berpatah balik ke negara asal mengikut prosedur operasi standard,” kata Mohd Nasaruddin.
Tiada rampasan atau elemen jenayah terlibat dalam kes ini. - Bernama