KUALA LUMPUR: Akta Majlis Media Malaysia (MMM) mula berkuat kuasa hari ini, demikian diumumkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata beliau telah menandatangani warta bagi menguatkuasakan akta berkenaan sekali gus menjadi satu reformasi besar buat pengamal media.
“Akta Majlis Media Malaysia mula berkuat kuasa 14 Jun 2025 bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
“Kita pilih secara simbolik untuk mewartakan dan menguatkuasakan Akta Majlis Media Malaysia sempena HAWANA 2025,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat media negara.
Selain itu, Fahmi berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan 12 anggota Lembaga Pengasas MMM dalam masa terdekat bagi membantu proses membangunkan majlis berkenaan.
“Saya berharap MMM akan menjadi satu wacana yang bermakna dan akan terus beroperasi tidak kira siapa yang menjadi kerajaan nanti,” katanya.
Terdahulu, Fahmi dalam ucapannya berkata bahawa Lembaga Pengasas MMM dianggotai 12 orang yang terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori, iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta kategori ahli bukan media.
Sambutan HAWANA 2025 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama selaku agensi pelaksana, bertujuan mengiktiraf peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
Tarikh 29 Mei telah diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium dalam membentuk minda masyarakat bermaklumat.