MELAKA: Dua pekerja kedai serbaneka 24 jam cedera dalam kejadian samun dan cubaan samun di dua lokasi berasingan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian pertama yang berlaku kira-kira 4.40 pagi di Taman Sin Hoe, Bukit Baru itu, mangsa berusia 20 tahun cedera pada sebelah kanan kepala akibat dipukul dengan senjata dipercayai kayu besbol yang dibalut dengan kain hitam.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang bertugas seorang diri, didatangi seorang lelaki memakai topi keledar dan pelitup muka yang mahu membuat tambah nilai e-dompet sebanyak RM50.

“Secara tiba-tiba suspek memegang laci juruwang dan mangsa cuba menghalang, lalu berlaku pergelutan antara mereka sehingga dia dipukul sebelum suspek melarikan diri bersama laci yang mengandungi wang tunai,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata anggaran kerugian yang dialami oleh kedai serbaneka itu lebih kurang RM300 dan mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan selain berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian kedua di Saujana Puri, Bukit Katil pada waktu lebih kurang sama, seorang lelaki berpakaian seperti penghantar makanan datang ke premis itu dengan berpura-pura membeli tambah nilai e-dompet sebanyak RM50.

Beliau berkata suspek yang juga bertopi keledar biru kemudian membuat pembayaran menggunakan wang tunai RM100, namun ketika mangsa berusia 31 tahun mahu memulangkan baki, suspek secara tiba-tiba menghulurkan tangannya ke dalam laci wang.

“Mangsa yang cuba menghalang tindakan itu telah dipukul oleh suspek menggunakan besi dipercayai jenis tripod dan kemudian melarikan diri menaiki motosikal Yamaha LC, yang mempunyai kotak penghantaran makanan di bahagian belakang.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan pada pergelangan tangan kiri, namun tiada kerugian wang dilaporkan dalam kejadian itu dan kedua kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.