• 2025-06-27 10:20 AM

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan kini memikul tugas tambahan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta. Pelantikan ini dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lalu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menjelaskan, tanggungjawab utama Amir Hamzah adalah menyemak semula Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025. Proses ini melibatkan integrasi maklum balas daripada kementerian serta pandangan Jemaah Menteri.

Kekosongan jawatan ini berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli pada 28 Mei lepas selepas beliau gagal mempertahankan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PKR. Rafizi menegaskan langkah itu diambil kerana kehilangan mandat parti untuk meneruskan agenda ekonomi PKR dalam kerajaan.

Amir Hamzah dalam kenyataan berasingan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri dan menekankan komitmennya memantapkan RMK-13. “Kami akan memastikan dasar Kerajaan MADANI dan agenda pembaharuan ekonomi dilaksanakan secara holistik,“ jelasnya