• 2025-09-24 09:08 PM

IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan cadangan PAS agar Perdana Menteri pada pilihan raya akan datang hendaklah berusia bawah 70 tahun sebagai bahasa halus untuk menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada dicalonkan bagi jawatan itu.

Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata cadangan itu adalah bahasa paling halus PAS untuk menamakan pemimpin bawah 70 tahun dalam kalangan ahli parti berkenaan sebagai calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional.

Beliau menyatakan cadangan tersebut bersifat politik memandangkan PAS tidak pernah mengemukakannya ketika negara mempunyai Perdana Menteri berusia lebih 90 tahun sebelum ini.

Muhammad Kamil menekankan syarat utama menjadi pemimpin adalah kecerdasan, kesihatan tubuh badan, kemampuan bekerja dengan baik, dan kefahaman terhadap kehendak rakyat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rangkaian Pusat Pencerapan Kesihatan Komuniti SDG (MASCHON) di Dewan NCMS-CARITAS di sini hari ini.

Muhammad Kamil mengakui kepimpinan generasi muda diperlukan untuk mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa hadapan.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan timing cadangan PAS yang datang di tengah-tengah polemik dalam Perikatan Nasional untuk menentukan calon Perdana Menteri.

Terdahulu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan calon Perdana Menteri ke-11 sewajarnya berumur di bawah 70 tahun dan mesti sihat tubuh badan ketika merasmikan muktamar tahunan parti itu di Kedah.

Abdul Hadi menegaskan beliau sendiri tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana faktor usia dan kesihatan.

Presiden PAS bagaimanapun berkata kenyataan beliau itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak secara khusus. – Bernama