MELAKA: Seorang anggota unit rondaan bermotosikal (URB) mengalami kecederaan ringan selepas dilanggar kereta yang dipandu pasangan kekasih cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Peruna 1, Bukit Rambai, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang apabila pasangan itu menaiki Perodua Myvi enggan berhenti untuk pemeriksaan. Mereka dikejar lebih tiga unit kereta peronda (MPV) dan URB sejauh 13 kilometer dari Taman Anika, Lorong Pandan hingga ke lokasi kejadian.
“Perodua Myvi itu dipandu secara melulu dan tidak berhenti di lampu isyarat merah serta membahayakan pengguna jalan raya lain. Apabila tiba di Bukit Rambai, suspek telah mengundurkan keretanya dan melanggar motosikal ditunggang anggota lelaki berusia 27 tahun itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasangan kekasih berusia 26 dan 28 tahun itu berjaya ditahan di Bukit Rambai. Pemeriksaan polis menemui dua peket plastik lut sinar dipercayai berisi dadah jenis heroin seberat 15.06 gram serta alat penimbang dalam kereta. Kedua-duanya juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Suspek kini direman hingga Isnin bagi siasatan di bawah Seksyen 186 dan 332 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama