ANKARA: Hampir 50 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 200 lagi cedera pada Ahad selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan di Al-Mawasi, barat Rafah di selatan Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan bahawa mayat 28 mangsa telah dipindahkan ke Hospital Nasser di bandar Khan Younis dan 21 yang lain ke Hospital Medan Palang Merah, manakala lebih 200 orang cedera akibat tembakan tentera Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Menurut saksi, orang ramai telah berkumpul sejak awal pagi di pusat agihan bantuan dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation, sebuah organisasi Amerika Syarikat (AS) yang disokong Israel.

Saksi turut memaklumkan bahawa ketika orang ramai menghampiri lokasi itu, kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan dan dron menggugurkan bahan letupan, menyebabkan jumlah korban yang tinggi.

Seorang pegawai perubatan menyifatkan keadaan di sekitar pusat agihan bantuan itu sebagai “amat berbahaya,” sambil menjelaskan bahawa ambulans menghadapi kesukaran untuk sampai ke lokasi kerana tembakan yang berterusan. Sebahagian mangsa dipindahkan menggunakan pedati.

Pada masa sama, saksi berkata tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah orang awam yang menghampiri sebuah lagi pusat bantuan Amerika berhampiran Koridor Netzarim di tengah Gaza.

Menurut sumber perubatan di Hospital Al-Awda di kem pelarian Nuseirat, sekurang-kurangnya seorang rakyat Palestin terbunuh dan 20 lagi cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai berhampiran kem pelarian Bureij.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 49 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 305 lagi cedera akibat tembakan Israel berhampiran pusat agihan bantuan sejak mekanisme pengagihan bantuan Israel bermula pada 27 Mei.

Pejabat itu menuduh Israel “menggunakan bantuan kemanusiaan secara sistematik dan berniat jahat sebagai senjata perang untuk memeras ugut rakyat yang kelaparan dan memaksa mereka berkumpul di kawasan terbuka yang terdedah kepada serangan maut.”