KUALA LUMPUR: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menegaskan komitmennya untuk memperkasa gerakan koperasi negara menerusi agenda digitalisasi, peningkatan kualiti produk serta peluasan jaringan perniagaan dalam pelbagai sektor strategik.
Presidennya Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata usaha tersebut digerakkan selari dengan Dasar Koperasi Malaysia (DAKoM) 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Pelan Digitalisasi Koperasi Malaysia 2030 bagi memperkukuh keberdayaan koperasi dalam era digital.
“Pemerkasaan sektor koperasi diteruskan dengan berpaksikan kepada teras-teras utama dasar ini, khususnya untuk meningkatkan kompetensi dan daya saing koperasi dalam landskap ekonomi digital masa kini,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Perwakilan ANGKASA ke-39 (MAPA) di sini hari ini.
Mesyuarat tahunan itu dirasmikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul dengan kehadiran lebih 5,000 perwakilan koperasi dari seluruh negara secara hibrid di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur.
Abdul Fattah turut berkongsi bahawa inisiatif digitalisasi sektor peruncitan menerusi program BA100 mencatatkan pencapaian memberangsangkan, apabila sebanyak 3,591 outlet koperasi telah didaftarkan sehingga Mei lepas, melepasi sasaran awal sebanyak 3,000 outlet.
Beliau berkata ANGKASA menyasarkan nilai jualan berjumlah RM375 juta menjelang 2030 menerusi pelbagai inisiatif digital seperti BA100, selain disokong oleh peruntukan RM6 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hasil penganjuran Kongres Koperasi Kebangsaan Ketiga baru-baru ini.
Menjelang 2030, ANGKASA turut menyasarkan penglibatan koperasi dalam projek strategik melibatkan 850 koperasi di bawah jenama ANGKASAMart, 4,295 koperasi dalam pengeluaran produk OEM, 15 koperasi dalam CoopFarmasi dan 100 koperasi dalam inisiatif CoopUmrah.
Setakat ini, sebanyak 42 koperasi sekolah telah mencatat perolehan melebihi RM1 juta, manakala dua daripadanya melebihi RM2 juta.
Dalam usaha meningkatkan daya saing produk koperasi, lebih 112 Stock Keeping Unit (SKU) telah diberikan reka bentuk pembungkusan baharu, manakala 148 SKU telah memperoleh atau sedang dalam proses memohon pensijilan halal sejak 2020.
“Sejak 2020 hingga 2024, sebanyak 30 program pembangunan pensijilan halal telah dilaksanakan, melibatkan 30 koperasi di seluruh negara,” katanya
Sementara itu, Johari berkata potensi koperasi amat besar, khususnya apabila jumlah keahliannya kini melebihi 7.2 juta orang di seluruh negara.
“Saya tekankan bahawa koperasi boleh membantu meringankan beban rakyat, terutamanya dengan menawarkan barangan pada harga lebih rendah. Kehadiran koperasi di semua peringkat termasuk di kampung-kampung dapat membantu mengawal harga barang,” katanya.
Beliau turut menyarankan koperasi agar meneroka potensi sektor pertanian sebagai sumber pendapatan baharu dan penyumbang kepada bekalan makanan negara.
Selain itu, Johari menggalakkan koperasi memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk menjalin kerjasama serantau serta menggunakan lebih 1,000 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara sebagai rangkaian maklumat dan pembangunan komuniti.