LONDON: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan Sir Keir Starmer di sini pada Rabu.

Anwar, yang tiba di sini pada Selasa bagi lawatan kerja lima hari ke United Kingdom (UK), disambut oleh Starmer di pejabat Perdana Menteri UK itu di No 10, Downing Street pada 1 tengah hari (9 malam waktu Malaysia).

Anwar dan Starmer kemudian mengetuai delegasi masing-masing pada mesyuarat dua hala, memberi tumpuan kepada mengukuhkan hubungan yang lama terjalin antara dua negara.

Perdana Menteri diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kemudian akan menghadiri majlis pelancaran produk oleh YTL Group UK.

UK merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara ialah RM15.30 bilion (US$3.34 bilion) setakat Nov 2024.

Sementara itu, Starmer berkata UK dan Malaysia mempunyai hubungan rapat dan bersejarah, serta beliau berbesar hati menyambut kedatangan Anwar ke pejabatnya hari ini.

“Saya mengalu-alukan kedatangan beliau di sini, di Downing Street. Untuk mendapat peluang mengadakan pertemuan dalam tempoh hanya enam bulan selepas saya menjadi Perdana Menteri, ia begitu penting bagi saya.

“Perkongsian moden dan dinamik kami disokong oleh bidang kerjasama, daripada perdagangan dan pelaburan kepada pendidikan, dan hubungan kami lebih kukuh berbanding sebelum ini,” kata Starmer.

Beliau berkata UK ialah lokasi yang bagus untuk menjalankan perniagaan, serta beliau turut berbesar hati kerana syarikat Malaysia terus melabur di negara ini.

“Selain itu, kedua-dua negara berkongsi komitmen terhadap cita-cita sifar bersih dan tenaga bersih akan menyokong pertumbuhan masa depan Malaysia dan UK.

“Sebagai rakan dialog ASEAN, UK menyokong Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. Kami komited untuk membina Perkongsian UK-ASEAN yang kukuh, diperkuat oleh penghormatan kami terhadap peranan ASEAN dalam mengekalkan kemakmuran dan keamanan di Indo-Pasifik,” katanya.

UK dan Malaysia juga berkongsi hubungan pertahanan yang kukuh, dengan kedua-dua negara merupakan sebahagian daripada Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) bersama-sama Australia, New Zealand dan Singapura.