PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta untuk memastikan manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Beliau menyeru agar sektor swasta lebih proaktif dalam menyumbang idea dan program seperti sekolah angkat.
“Saya telah beritahu kepada menteri dengan kementerian masing-masing (untuk) bekerjasama, jangan beri jawapan secara berpihak.
Pastikan sektor swasta menyuar pendapat dan cadangan mereka.
Dengan cara itu, penyesuaian dapat dilakukan,“ kata Anwar semasa melancarkan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI).
Anwar turut mencadangkan pemimpin korporat turun padang melihat sendiri keadaan sekolah angkat di bawah kendalian mereka.
“Saya cadangkan kehadiran Presiden atau CEO sendiri dalam program sebegini dapat memberi keyakinan dan harapan besar kepada anak muda, lebih-lebih lagi kepada mereka yang datang daripada latar belakang kurang berkemampuan,“ ujarnya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada syarikat korporat yang telah menyumbang dalam pelbagai program bantuan, termasuk isu Gaza, sekolah angkat, dan kemiskinan.
Anwar menyeru semua pihak mengelak isu perkauman dan politik serta bersatu membangun negara.
Antara kejayaan kerajaan yang disebut Anwar ialah projek pembaikan tandas sekolah yang melibatkan peruntukan RM1 bilion untuk baik pulih lebih 1,200 tandas.
“Walaupun dipermainkan oleh pembangkang...hampir RM1 bilion baik pulih 1,200 tandas.
Bayangkan sekolah anak cucu kita tandas tak terurus,“ katanya.
Program Sekolah Angkat MADANI kini meliputi 1,000 sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan Cina dan Tamil, sebagai usaha mengurangkan jurang pendidikan dengan penglibatan sektor korporat. – Bernama