• 2025-07-12 10:01 PM

KUALA NERUS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Jumaat lalu bertujuan untuk menjelaskan beberapa isu semasa termasuk cukai, khabar angin tentang subsidi petrol RON95, dan hal ehwal badan kehakiman.

Beliau menyatakan bahawa pertemuan itu diadakan atas cadangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi. “Datuk Seri Zahid kata sebaiknya jumpa (Ahli Parlimen) BN juga. Maka saya pun kata baik, kita jumpa semalam. (Ahli Parlimen) BN faham dan bagi kerjasama penuh bagi isu-isu ini,“ katanya selepas pertemuan dengan Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Pahang, Terengganu, dan Kelantan di sini hari ini.

Pertemuan dengan Ahli Parlimen BN diadakan di kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya. Selain itu, Anwar yang juga Presiden PKR turut membincangkan isu rasuah dalam pertemuan majlis pimpinan hari ini. Beliau menegaskan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah besar.

“Saya jelaskan bagaimana tindakan-tindakan kita terhadap rasuah besar yang kemudian menyebabkan kumpulan ini bersatu untuk menyerang kita. Itu yang penting. Sebab bagi mereka rasuah itu tidak lagi besar. Bagi kita masih (besar) kerana isu tatakelola,“ katanya.

Anwar turut menekankan kepentingan menghormati proses pelantikan Ketua Hakim Negara mengikut Perlembagaan Persekutuan. - Bernama