KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha ASEAN menarik penyertaan institusi utama bagi memastikan kejayaan Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (APGF).
Beliau berkata Grid Kuasa ASEAN (APG) adalah tulang belakang kerjasama serantau yang menghubungkan kemampanan, keselamatan dan kemampuan.
Anwar berkata Malaysia komited sepenuhnya terhadap agenda bersama ini untuk mengimbangi trilema tenaga dan mengukuhkan pertumbuhan ASEAN untuk beberapa dekad akan datang.
Cita-cita mesti dipadankan dengan sumber kerana APG memerlukan pelaburan berterusan dan pembiayaan inovatif.
ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia telah menyokong APGF yang dibangunkan bersama Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia.
APGF akan berfungsi sebagai platform khusus untuk menggerakkan pembiayaan hijau dan menyediakan projek yang boleh membawa keuntungan.
Platform ini juga akan mempercepat pelaburan rentas sempadan di darat dan di bawah laut.
Anwar berkata demikian menerusi ucaptama pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 dan Mesyuarat Berkaitannya serta Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25. – Bernama