KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan 30 warga Indonesia selepas bot dinaiki mereka terbalik di kedudukan 19.3 batu nautika timur laut Tanjung Penawar di sini, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat awal daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Tanjung Pinang pada 9 pagi berikutan lokasi kejadian itu terletak dalam kawasan mencari dan menyelamat (MSRR) Malaysia.
Beliau berkata MRSC Johor Bahru telah mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) dengan bantuan pihak BASARNAS sebelum aset APMM telah diatur gerak bagi membantu mangsa terlibat.
“Ketika kejadian, kapal Andros Spirit yang berada berhampiran lokasi bertindak segera membantu menyelamatkan mangsa, manakala KM Sibuan bersama aset lain antaranya bot Petir 11 dan bot Penggalang 15 turut ditugaskan ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.
“Kesemua mangsa ditempatkan di atas kapal Andros Spirit dan diiringi oleh kapal dan bot yang terlibat ke sempadan perairan Indonesia untuk diserahkan kepada kapal KN Rantos, KN Kalimasadha dan KN Tanjung Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kama Azri berkata kejayaan operasi itu adalah hasil kerjasama erat antara agensi penguat kuasa maritim serantau dan tindakan pantas semua pihak yang terlibat.
“APMM sentiasa komited dalam memastikan keselamatan perairan negara dan akan terus bekerjasama dalam operasi lintas sempadan demi melindungi nyawa di laut,” katanya.