KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu telah menahan tujuh bot penumpang dalam operasi khas di perairan Pulau Redang dekat Kuala Nerus semalam.
Kesalahan utama termasuk membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan, tiada senarai nama penumpang, dan lesen operasi yang tamat tempoh.
Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang, berkata salah sebuah bot membawa sehingga 42 penumpang dalam satu perjalanan. “Ini bukan kesalahan kecil, ia kes cuai yang boleh meragut nyawa. APMM tidak akan berkompromi,“ tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 14 kru dan nakhoda berusia 20 hingga 40 tahun disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan telah dikenakan kompaun. Hamiludin menegaskan bahawa APMM akan terus memperketat penguatkuasaan, terutamanya menjelang musim cuti sekolah dan perayaan, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti insiden bot terbalik di Pulau Perhentian pada 28 Jun lalu.
Dalam kejadian itu, tiga pelancong tempatan termasuk dua kanak-kanak maut apabila bot yang dinaiki terbalik. Pemandu bot tersebut disahkan positif dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan bahan terlarang.
“Orang ramai diminta melaporkan sebarang kegiatan berisiko tinggi kepada pihak berkuasa. Keselamatan laut adalah tanggungjawab bersama,“ kata Hamiludin. - Bernama