KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru negara anggota ASEAN untuk memanfaatkan perubahan asas dalam strategi pembiayaan bagi mencapai matlamat peralihan tenaga serantau, dengan pelaburan terkumpul dianggarkan melebihi US$3 trilion menjelang 2050.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Malaysia pula memerlukan lebih daripada US$143 bilion untuk mencapai sasaran tenaga boleh baharu (TBB) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
“Angka berkenaan menegaskan bahawa pembiayaan awam semata-mata adalah tidak mencukupi.
“Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan di seluruh rantau ini mewujudkan persekitaran yang kukuh dan kondusif bagi merangsang pelaburan swasta sama ada domestik mahupun antarabangsa melalui reformasi dasar yang diselaraskan dan instrumen kewangan inovatif,” katanya.
Dalam ucaptama beliau pada Mesyuarat Peralihan Tenaga ASEAN: Memperkukuh Kerjasama Serantau anjuran di sini hari ini, beliau berkata instrumen berkenaan termasuk mekanisme pembiayaan campuran dan jaminan awam untuk mengurangkan risiko projek TBB pada peringkat awal.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata ASEAN juga perlu memperkukuh pasaran modal melalui penerbitan bon hijau, instrumen kewangan Islam seperti sukuk, dan pinjaman berkaitan kemampanan untuk menyalurkan modal kepada projek tenaga bersih.
“Rangka kerja penetapan harga karbon yang mencerminkan kos sebenar pelepasan adalah penting untuk memberi insentif kepada peralihan ke arah teknologi rendah karbon.
“Pendigitalan ekosistem tenaga termasuk grid pintar, alat ramalan berasaskan kecerdasan buatan, dan sistem pengurusan permintaan akan berperanan penting dalam meningkatkan fleksibiliti dan kecekapan sistem di seluruh rantau ini,” katanya.
Di peringkat nasional, Fadillah berkata Malaysia telah mula menyelaraskan dasar dan landskap pembiayaannya bagi menyokong transformasi ini.
“Sebagai sebuah negara perdagangan, kami (Malaysia) mengakui bahawa daya saing dan matlamat iklim perlu seiring.
“Program Pembekalan Tenaga Elektrik Boleh Baharu Korporat membolehkan pengguna elektrik berskala besar untuk mendapatkan sumber TBB secara langsung daripada pemaju swasta, menawarkan laluan berpacukan pasaran bagi penyahkarbonan,” kata beliau.
Menurutnya Program Penjanaan Tenaga Rendah Karbon pula memperkenalkan mekanisme Kontrak Perbezaan untuk meningkatkan kebolehlaksanaan projek TBB serta memberikan kepastian harga kepada pelabur manakala Kemudahan Peralihan Rendah Karbon Bank Negara Malaysia menyediakan pembiayaan konsesi kepada perusahaan kecil dan sederhana yang melabur dalam teknologi bersih.
Fadillah menekankan bahawa usaha untuk membolehkan peralihan tenaga di seluruh rantau perlu seiring dengan penjajaran serantau.
“Pasaran tenaga ASEAN yang bersepadu, disokong oleh rangka kerja pelaburan bersama, piawaian teknikal yang diselaraskan, dan mekanisme pembiayaan hijau yang diselaraskan akan membuka potensi skala ekonomi dan mengurangkan kos modal,” katanya.