Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan katanya ketika berucap di Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB. - Bernama
NEW YORK: ASEAN mesti meneruskan usaha untuk memulihkan kredibiliti Konsensus Lima Perkara sambil memupuk keselamatan dan kestabilan di Myanmar.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan kekecewaan ASEAN terhadap pencabulan gencatan senjata yang dipersetujui serta keganasan berterusan yang membahayakan orang awam di Myanmar.
Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa di Myanmar perlu ingat negara mereka adalah sebahagian daripada rantau ASEAN dan bukannya sebuah negara terpencil.
“Terdapat masa depan yang cerah dan selamat untuk semua rakyat kita jika kita bekerjasama dengan penuh keikhlasan ke arah penyelesaian krisis di negara itu yang dipimpin dan dimiliki oleh rakyat Myanmar sendiri,” katanya ketika berucap di Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB.
Mohamad menekankan bahawa ASEAN akan terus memainkan peranan penting sebagai blok serantau dalam memastikan keamanan dan memperkukuh keselamatan.
Sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia menyedari betapa besar usaha yang diperlukan untuk mencapai keamanan di rantau ini.
Beliau mengingatkan bahawa ASEAN tidak berdiam diri apabila konflik memuncak antara jiran serantau dengan mengambil inisiatif mempertemukan pihak yang bertelagah.
“Ya, cabaran tetap ada tetapi mesej kita jelas – ASEAN akan kekal di meja rundingan dan menggesa kedua-dua negara menghormati komitmen mereka,” tegas Mohamad.
Beliau menambah tiada konflik sama ada antara negara atau dalam negara yang berbaloi untuk mempertaruhkan kestabilan rantau Asia Tenggara.
Mohamad juga menegaskan bahawa Laut China Selatan tidak boleh dijadikan alat dalam persaingan strategik antara kuasa besar.
Beliau menggesa semua pihak mematuhi sepenuhnya UNCLOS dan mengelak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan salah perhitungan di perairan yang dikongsi bersama.
Dalam ucapannya, Mohamad turut menekankan komitmen Malaysia untuk memperjuangkan hak dan keperluan negara-negara Selatan Global.
Beliau menyatakan negara-negara Selatan Global sekian lama menanggung beban dasar ekonomi tidak seimbang yang meminggirkan negara membangun.
Mereka juga berdepan jurang pembiayaan besar untuk pembangunan mampan meskipun menempatkan populasi paling terdedah di dunia.
“Ironinya amat menyakitkan, kita merupakan majoriti dunia namun kekal kurang diwakili dalam membuat keputusan dan diketepikan dalam tadbir urus global,” katanya.
Mohamad menegaskan ketidakseimbangan ini mesti diperbetulkan dengan meletakkan Selatan Global di tengah-tengah tatanan antarabangsa yang lebih adil.
Beliau berikrar Malaysia akan terus memperjuangkan maruah, kesaksamaan dan peluang untuk semua negara membangun tanpa kompromi. – Bernama