• 2025-09-04 03:37 PM

LANGKAWI: ASEAN perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi pengesanan awal dan sistem amaran untuk pengurusan jerebu rentas serta ancaman alam sekitar lain yang lebih berkesan.

Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan tiada ruang untuk leka dalam menangani isu alam sekitar serantau.

Beliau menekankan pembiayaan dan kerjasama lebih kukuh diperlukan bagi meningkatkan keupayaan teknologi rantau ini dalam mengenal pasti serta bertindak balas terhadap risiko alam sekitar sebelum ia menjadi lebih serius.

“Tidak boleh leka malah saya berpendapat banyak pelaburan diperlukan untuk teknologi, terutama bagi pengesanan awal dan sistem amaran supaya kita dapat menanganinya dengan pantas.”

Johari berkata isu pembiayaan sering dibangkitkan memandangkan ada negara yang mampu mengeluarkan pembiayaan dan ada yang merasakan perlu berbelanja untuk perkara lain.

Beliau berkata semasa mesyuarat COP-20 AATHP, Malaysia telah dilantik mengetuai dua jawatankuasa kecil untuk tempoh dua tahun akan datang.

Jawatankuasa pertama memfokus kepada pemuliharaan alam semula jadi serta biodiversiti manakala jawatankuasa kedua mengenai bahan kimia dan sisa.

Filipina akan mengetuai jawatankuasa kecil alam sekitar pantai dan marin manakala Laos akan menerajui sumber air.

Kemboja akan mengetuai jawatankuasa alam sekitar dan bandar lestari manakala Singapura dan Thailand akan bersama-sama mengetuai jawatankuasa perubahan iklim.

Johari menggesa rantau ini untuk memperkukuh kerjasama dan mengekalkan iltizam politik bagi menangani cabaran jerebu secara berkesan.

Beliau menegaskan kepentingan dan keperluan mendesak terhadap usaha itu tidak boleh dipandang ringan.

Johari memberi amaran bahawa negara anggota tidak boleh leka walaupun dalam tahun yang jerebu tidak begitu teruk.

Kejadian kebakaran dan jerebu pada 1997, 2006, 2015 dan 2023 merupakan peringatan jelas tentang besarnya skala cabaran tersebut.

“Malaysia telah mengalami insiden jerebu rentas sempadan ini pada Julai 2025, yang menjadi peringatan bahawa walaupun ada kemajuan dicapai tugas kita masih belum selesai.”

Usaha untuk mencapai ASEAN bebas jerebu menjelang 2030 adalah selaras dengan komitmen alam sekitar serantau dan matlamat iklim global di bawah Perjanjian Paris.

Johari menyeru negara anggota ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dengan rakan dialog, agensi pembangunan dan institusi antarabangsa.

Kerjasama perlu diperkukuh dalam aspek seperti pencegahan, amaran awal, mitigasi dan pembinaan kapasiti.

Mesyuarat COP-21 seterusnya akan diadakan di Vietnam pada 2026.

Myanmar akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-19 dan COP-22 pada 2027. – Bernama