• 2025-07-06 05:24 PM
ASEAN teliti penyertaan kuasa besar dalam protokol bebas nuklear

KUALA LUMPUR: ASEAN kini sedang meneliti secara teknikal penyertaan negara kuasa besar dalam Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), termasuk kemungkinan mereka meletakkan reservasi terhadap komitmen perjanjian tersebut.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin menyatakan bahawa langkah ini mencerminkan usaha berterusan ASEAN untuk memperkukuh komitmen global terhadap prinsip ketidakcambahan senjata.

“Perkara ini sedang diperhalusi oleh Suruhanjaya SEANWFZ melalui perbincangan di peringkat Pegawai-Pegawai Kanan dan Jawatankuasa Eksekutif.

“Isu utama ialah penyertaan negara kuasa besar bergantung kepada sama ada mereka boleh membuat reservasi terhadap protokol tersebut,“ katanya semasa taklimat media Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58.

Beliau menekankan bahawa ASEAN terus memainkan peranan sebagai platform diplomatik utama untuk menggalakkan penyertaan kuasa besar dalam rejim senjata nuklear yang lebih selamat dan terkawal.

“Memang menjadi tempat di peringkat ASEAN untuk memberi ruang kepada negara-negara kuasa besar dunia agar menyertai Protokol SEANWFZ dan menjadi sebahagian daripada kumpulan SEANWFZ itu sendiri,“ tambahnya.

Amran juga menyatakan bahawa ASEAN komited terhadap prinsip ketidakcambahan senjata nuklear, dan rundingan yang sedang berlangsung diharap dapat membuka jalan kepada penyertaan tanpa menjejaskan nilai asas perjanjian.

“Beberapa keputusan penting telah pun dicapai sebelum ini mengenai sama ada penyertaan boleh dibuat dengan atau tanpa reservasi.

“Kita juga menerima indikasi bahawa kemajuan boleh dicapai walaupun ia mengambil masa yang agak lama,“ jelasnya.

China dan Rusia dilaporkan bersetuju menandatangani Protokol SEANWFZ, manakala Amerika Syarikat masih dalam proses semakan sebelum membuat keputusan.

Protokol ini digubal bagi mempelawa lima kuasa nuklear iaitu China, Rusia, Perancis, United Kingdom, dan AS menyertai usaha merealisasikan Asia Tenggara sebagai rantau bebas senjata nuklear.

SEANWFZ, yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok, ditandatangani pada Disember 1995 di Bangkok oleh 10 negara anggota ASEAN dan berkuat kuasa pada Mac 1997.

Di bawah protokol ini, setiap Negara Senjata Nuklear (NWS) perlu menghormati SEANWFZ serta tidak menyumbang kepada apa-apa perilaku yang merupakan pelanggaran kepada perjanjian dan protokolnya.

Malaysia akan menganjurkan AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai ini. – Bernama