KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd melancarkan ATLAS by Bank Muamalat, bank digital Islamik pertama di Malaysia, yang berteraskan keimanan dan selaras dengan gaya hidup terkini.

Bank Muamalat menerusi satu kenyataan hari ini berkata ATLAS dibangunkan khusus untuk menawarkan pengalaman perbankan yang patuh Syariah, menggabungkan inovasi kewangan dengan ciri gaya hidup yang disesuaikan untuk generasi yang mementingkan agama dan celik teknologi.

Pelancaran bank Islamik itu merupakan satu lonjakan transformasi besar dalam usaha Bank Muamalat untuk mentakrif semula perbankan Islam, sekali gus menempatkan institusi tersebut sebagai perintis dalam landskap perbankan digital negara yang semakin berkembang pesat.

“Ia juga berfungsi sebagai pencapaian strategik di bawah Strategi RISE26+ lima tahun bank, yang bertujuan untuk mengubah landskap kewangan melalui inovasi, daya tahan operasi dan penerajuan Syariah.

“ATLAS menggabungkan kemudahan digital dengan pengayaan rohani, menawarkan ekosistem kewangan yang benar-benar holistik untuk muslim,“ kata Bank Muamalat.

Dengan pendekatan menumpukan kepada digital, ATLAS membolehkan pengguna mengaktifkan akaun mereka dan mula berurus niaga hanya dalam tempoh beberapa minit melalui proses ‘onboarding’ yang pantas. Ciri ini tidak lama lagi akan dipertingkatkan dengan pengenalan Kad Debit-i ATLAS x Mastercard maya, menawarkan akses segera kepada pembayaran digital patuh Syariah yang selamat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutinya, Khairul Kamarudin, berkata ATLAS menyediakan bukan sahaja penyelesaian kewangan, tetapi pengalaman digital yang selaras dengan nilai dan keperluan harian pelanggan.

“Bank digital itu mewakili evolusi perbankan Islam yang intuitif, inklusif dan sangat peribadi yang juga memainkan peranan penting dalam meluaskan akses kepada segmen kurang mendapat perkhidmatan perbankan terutamanya dalam kalangan demografi yang lebih muda, seterusnya menyumbang kepada keterangkuman kewangan negara dan pertumbuhan mampan,“ katanya.

Bagi mendapat maklumat lanjut mengenai ATLAS, boleh layari: https://atlasmuamalat.com.my