• 2025-09-15 10:01 AM

KUANTAN: Angkatan Tentera Malaysia akan melaksanakan latihan penerbangan taktikal bermula esok hingga 18 September di Pangkalan Udara Kuantan dan ruang udara sekitar Pahang.

Latihan ini melibatkan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter ATM sebagai persiapan demonstrasi dinamik sempena Perbarisan Hari ATM ke-92.

Tentera Udara Diraja Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan demonstrasi akan mempamerkan keupayaan ATM mempertahankan kedaulatan negara.

Demonstrasi tersebut juga akan menunjukkan operasi menyelamat tebusan daripada pihak musuh dengan beberapa letupan diadakan.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat pesawat terbang rendah atau mendengar bunyi letupan.

Orang ramai juga dijemput hadir memeriahkan sambutan Hari ATM ke-92 pada 20 dan 21 September bertemakan “Angkatan Masa Hadapan: Kedaulatan Dijulang, Pertahanan Diperkasa”.

Sambutan tersebut akan menampilkan pameran statik aset ATM serta demonstrasi dinamik secara langsung.

Karnival Kerjasama Awam Tentera turut akan diadakan pada tarikh sama di pangkalan berkenaan. – Bernama