KUALA LUMPUR: Berpengalaman selama lebih 60 tahun dalam industri perbankan, Tan Sri Azman Hashim bukan sahaja merupakan ikon kewangan Malaysia, malah seorang ahli perniagaan yang luar biasa.
Tokoh perbankan itu juga bersifat dermawan, selain aktif dalam aktiviti sukan dan gemar menyanyi.
Pada 2023, beliau telah menawan puncak Gunung Kinabalu pada usia 84 tahun dan menggambarkan pencapaian itu sebagai perjalanan yang bersifat fizikal dan simbolik.
“Kehidupan dipenuhi dengan pelbagai cabaran – sama ada secara literal atau metafora.
“Pendakian itu mengingatkan saya bahawa dengan persediaan, ketekunan dan keyakinan, kita masih mampu mengatasi cabaran besar tanpa mengira usia,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pemikiran yang sama telah mendorongnya untuk menubuhkan firma perakaunannya, Azman & Co, kemudian mengambil alih Arab-Malaysian Merchant Bank dan membina AmBank Bhd.
“Usia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada matlamat. Jika kita terus mempunyai rasa ingin tahu dan komited, sentiasa ada puncak lain untuk ditawan,” katanya.
Katanya minat yang mendalam merupakan elemen yang membawa keseimbangan dan perspektif, yang telah membentuk pendekatannya terhadap kepimpinan — bukan sekadar sebagai fungsi perniagaan, malah sebagai tanggungjawab untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Legasi Pengiktirafan dan Sumbangan
Baru-baru ini, Azman, pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Chartered Banker Institute, UK.
Beliau berkata anugerah tersebut bukan sahaja mencerminkan perjalanannya, malah kemajuan bersama di AICB dalam meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti dalam industri perbankan Malaysia.
“Perbankan bukan sekadar mengenai angka. Ia mengenai kepercayaan, tanggungjawab dan kewajipan kita untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan tujuan yang jelas dan penuh integriti.
“Pengiktirafan ini adalah satu penghormatan kepada ramai individu hebat yang saya berpeluang bekerjasama dengan mereka sejak enam dekad lepas, daripada pengawal selia hingga rakan industri, rakan sekerja dan rakan kongsi,” katanya.
Azman berharap pengiktirafan ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain, terutamanya generasi muda untuk mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, menerajui dengan nilai-nilai murni dan menyumbang kepada masa depan industri kewangan.
Sebelum ini, beliau juga telah menerima penghormatan berprestij dari Jepun dan Australia – antaranya ialah The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon daripada Maharaja Jepun (1987) The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada kerajaan Jepun (2021) dan Medal of the Order of Australia daripada Gabenor Jeneral Komanwel Australia (2008).
Menelusuri Perjalanan Kewangan
Azman memulakan kerjayanya pada 1955, melanjutkan pengajian di Perth, Australia serta mendapat kelayakan sebagai akauntan bertauliah dan setiausaha bertauliah.di firma Messrs O L Haines & Co. sebelum berumur 21 tahun.
Pada 1960, beliau menyertai Bank Negara Malaysia (BNM), sebelum menubuhkan syarikatnya sendiri dengan nama Azman & Co pada Mei 1964. Syarikat itu kemudiannya dikenali sebagai Azman Wong Salleh & Co.
Beliau meninggalkan syarikat tersebut pada Mei 1971 untuk menyertai Malayan Banking Bhd (Maybank) sebagai pengarah eksekutif dan kemudiannya berkhidmat di Kwong Yik Bank Bhd dari Disember 1980 hingga Mac 1982.
Pada 1982, Azman mengambil alih Arab-Malaysian Merchant Bank dan mentransformasikannya menjadi AmBank Group serta beliau sebagai pengerusi sehingga bersara pada 2022.
Azman telah menjadi ahli Institute of Bankers Malaysia (IBBM) sejak 1983 dan telah dipilih sebagai pengerusi pada 2009. IBBM kemudiannya dinamakan AICB pada 2014.
Kepimpinan menerusi krisis
Krisis kewangan Asia pada 1998 menjadi antara episod kewangan paling mencabar bagi Malaysia.
“Spekulasi pertukaran asing mendorong penyusutan nilai ringgit dengan ketara, pasaran saham menjadi lumpuh, kadar faedah melonjak manakala mudah tunai pula menyusut. Banyak perniagaan dan individu terjejas, malah AmBank juga tidak terkecuali,” katanya ketika mengimbau kenangan itu.
Bagi Azman, AmBank sebalikya mampu bangkit mengharungi cabaran itu dengan bersandarkan keyakinan kukuh terhadap kemampuan untuk berdaya tahan, tenang ketika berdepan tekanan selain komitmen padu dalam melakukan apa yang tepat.
“Saya sentiasa percaya dalam satu-satu krisis, kita perlu memimpin dengan jelas, berani serta tenang.
“Bagi saya, semua pengalaman ini mengingatkan bahawa kesukaran ini sebenarnya berperanan dalam membina sikap. Ia mengajar kita untuk lebih bersedia, berhati-hati dan menumpukan kemampanan jangka panjang berbanding keuntungan singkat,” katanya.
AICB dan masa depan perbankan
Sejak menyertai AICB pada 1983 dan seterusnya menjadi pengerusi pada 2009, Azman berperanan penting dalam mentransformasi AICB sebagai satu badan profesional terkemuka dengan lebih 37,000 anggota di lebih 20 negara di Asia.
Di bawah pimpinannya, AICB turut mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan strategik utama BNM dan institusi kewangan dalam memacu tahap kecekapan industri secara menyeluruh.
“Usaha kerjasama AICB dengan institusi global disegani adalah penting dalam usaha meningkatkan lagi tahap profesionalisme perbankan di Malaysia.
“Langkah untuk sejajar dengan institusi seperti Chartered Banker Institute di UK, membolehkan kita meletakkan tanda aras dengan mereka yang terbaik di dunia.
“Ini memastikan kelayakan kita adalah diiktiraf serta dihormati di peringkat antarabangsa. Pada masa sama, ini memberi peluang global untuk ahli perbankan kita bekerja, menjalin kerjasama dan bersaing di pentas lebih besar,” katanya.
Sejak 1980, terdapat lebih 39,000 profesional perbankan yang mendapat manfaat daripada kelayakan ditawarkan oleh AICB.
Hari ini, AICB menyumbang lebih 800 ahli perbankan bertauliah di 13 negara, termasuk Singapura, India dan Maldives – bukti kepentingan yang semakin ketara dalam aspek etika dan kesiapsiagaan masa depan bagi bidang perbankan.
“Kelayakan itu bukan sekadar mengenai usaha meraih kepakaran teknikal tetapi membentuk pertimbangan yang baik, etika profesional serta pemahaman mendalam ke atas amanah yang dipikul oleh para profesional kewangan.
“Ia menetapkan satu tahap atau piawaian emas yang memastikan individu yang menerajui institusi kewangan kita sememangnya layak, profesional dan komited dalam mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap profesion berkenaan. Ini menjadi asas bagi mewujudkan masa depan kewangan yang berwibawa, profesional dan berdaya tahan untuk Malaysia dan di peringkat lebih besar,” katanya.
Membangunkan tenaga kerja masa depan
Menerusi kerjasama dengan Institut Insurans Asia dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia, AICB telah menerajui Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) bagi menggariskan peranan pekerjaan baharu dan kemahiran yang diperlukan dalam sektor kewangan.
FSF mengenal pasti 161 peranan pekerjaan yang relevan selain 157 kemahiran diperlukan bagi tempoh tiga tahun akan datang, selain potensi laluan pembangunan kerjaya dan hampir 1,000 program pembangunan kapasiti.
“Nasihat saya untuk profesional muda perbankan ini adalah sentiasa amalkan sikap ingin tahu, terus menimba pengetahuan dan letakkan diri anda pada tahap integriti tertinggi. Dunia kewangan ini bukan setakat inginkan minda yang bijak, malah profesional yang ada prinsip.
“Tidak dinafikan tahap perubahan itu mungkin pantas, namun nilai itu kekal tidak mengenal tempoh masa dan atas dasar inilah, inisiatif seperti kelayakan Ahli Perbankan Bertauliah oleh AICB amat penting.
“Ia diwujudkan bukan hanya untuk melengkapkan profesional dengan pengetahuan, malah turut memupuk rasa hormat mendalam terhadap standard etika,” katanya