KUALA LUMPUR: Penyaluran bantuan RM100 secara sekali beri menerusi MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) merupakan langkah bersasar bagi memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menjelaskan mekanisme ini membolehkan warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas menggunakan bantuan untuk keperluan asas.
“Bantuan ini tidak boleh digunakan untuk membeli rokok atau arak. Ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang layak,“ katanya dalam wawancara dengan Bernama Radio.
Program ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos. Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk manfaat lebih 22 juta rakyat.
Selain itu, peruntukan program Jualan Rahmah MADANI ditingkatkan kepada RM600 juta tahun ini berbanding RM300 juta sebelum ini. Ini membolehkan lebih ramai golongan B40 membeli barangan asas pada harga rendah.
“Contohnya, mi segera dijual pada harga RM3.70 berbanding RM4 hingga RM5 di pasar raya biasa. Ini sangat membantu,“ ujar Teo.
Kerajaan juga mengumumkan penetapan harga RON95 pada RM1.99 seliter melalui mekanisme penyasaran subsidi. “Warga asing tidak sepatutnya menikmati subsidi minyak kerajaan kita,“ tegasnya. - Bernama