• 2025-07-05 06:22 PM

TANGKAK: Seorang bapa dan anak lelakinya maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan motosikal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 2.5 Jalan Sialang, Tangkak. Kejadian berlaku pada pukul 8.10 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Roslan Mohd Talib, mengesahkan kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 52 tahun dan anaknya berusia tujuh tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal yang dinaiki mangsa hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lelaki berusia 27 tahun yang memandu Toyota Hilux hanya mengalami kecederaan ringan,“ kata Roslan dalam kenyataan hari ini.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Khairul di talian 011-1244 5836 untuk membantu siasatan.