• 2025-08-01 12:05 PM

SEREMBAN: Seorang bapa direman seminggu hingga 7 Ogos ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian anak lelakinya berusia enam tahun yang mayatnya ditemukan di kawasan Rompin, Jempol dekat sini, 28 Julai lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Norhisham Mustapar berkata perintah reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Norshazwani Ishak di Mahkamah Majistret Bahau hari ini.

“Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki itu membuat laporan polis pada 24 Julai lepas mendakwa anaknya hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor.

Dia pada awalnya mendakwa kanak-kanak itu hilang kira-kira 4 petang, 23 Julai ketika ditinggalkan berseorangan di dalam kereta semasa suspek keluar membeli makanan.

Mayat kanak-kanak itu kemudian dijumpai ditanam di kawasan Rompin, Jempol, kira-kira 4.30 petang, 28 Julai - BERNAMA