• 2025-10-09 06:25 PM

KUALA LUMPUR: Proses pembayaran wang pampasan kepada penduduk di Kampung Sungai Baru yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan di kawasan itu telah selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah bayaran adalah antara RM198,000 hingga RM2.9 juta mengikut kategori rumah.

Beliau menjelaskan jumlah pampasan telah mengambil kira nilai pasaran yang ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Bagi lot teres, nilai pampasan adalah antara RM800,000 hingga RM2.9 juta manakala bagi unit flat pula antara RM198,000 hingga RM350,000.

Semua bayaran pampasan telah selesai disalurkan kepada penduduk antara Februari 2022 hingga Januari 2023.

Nilai pampasan itu turut merangkumi kos pindah, sewaan, fi penilaian serta kos kehilangan pendapatan.

Dr Zaliha menegaskan fakta ini menangkis tuduhan bahawa ada penduduk yang masih tidak menerima pampasan.

Malahan, pampasan turut dibayar bukan sahaja kepada pemilik tetapi juga kepada penyewa semasa pengambilan dijalankan.

Bayaran kepada penyewa merangkumi nilai kerugian sewa semasa dan kos pindah.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri berkenaan Hala Tuju Pembangunan Kampung Baru Ke Arah Pemerkasaan Identiti Melayu Di Kuala Lumpur di Dewan Rakyat.

Dr Zaliha menambah jumlah pampasan yang ditawarkan kepada penduduk ketika pengambilan tanah berlaku adalah lebih menguntungkan berbanding nilai sebenar pasaran.

Rekod jual beli pada 2015 dan 2019 menunjukkan harga pasaran asal jauh lebih rendah.

Unit flat dijual sekitar RM120,000 hingga RM180,000 manakala rumah teres pula sekitar RM200,000 hingga RM480,000 pada masa tersebut.

Dr Zaliha berkata sekiranya terdapat pemilik yang tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang diberikan, mereka boleh menggunakan saluran undang-undang sedia ada.

Kerajaan sentiasa menghormati keputusan mahkamah dalam hal tersebut.

Sekiranya mahkamah memutuskan pemaju perlu menaikkan nilai pampasan, pemaju perlu melaksanakannya.

Namun, jika mahkamah memutuskan nilai pampasan itu kekal maka pemilik juga perlu akur dan menghormati keputusan tersebut.

Perbicaraan kes ini tidak menghalang pembangunan Kampung Sungai Baru diteruskan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ketika itu turut menawarkan penempatan sementara di Projek Perumahan Rakyat Batu Muda, Bukit Jalil, Sri Aman dan Residensi Sungai Udang.

Tawaran ini sebagai langkah menyantuni mereka yang terkesan dengan pengambilan tanah tersebut.

Bagi penempatan di Residensi Sungai Udang, penduduk terlibat ditawarkan kadar sewa hanya sekitar RM350 sebulan bagi tahun pertama.

Kadar sewa bagi tahun-tahun seterusnya adalah RM680 sebulan.

DBKL juga meluluskan beberapa permohonan penyewaan PPR untuk tempoh tiga tahun dengan kadar sewa hanya RM124 sebulan.

Pihak pemaju turut menyediakan kemudahan logistik kepada mereka yang bersetuju dengan penempatan sementara tersebut.

Pada 11 September lepas, suasana tegang tercetus di Kampung Sungai Baru selepas beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran enggan berpindah.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru.

Proses pengambilan tanah bermula sejak 2016. – Bernama