KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan berusia 10 bulan maut selepas didakwa terjatuh ketika hendak dimandikan pengasuh di Puncak Alam, Selangor Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya dimaklumkan kejadian oleh seorang pegawai perubatan Hospital Al-Sultan Abdullah (Hospital UiTM) Puncak Alam pada 10.42 malam.
“Pegawai perubatan melaporkan bayi itu dibawa ke zon merah jabatan kecemasan pada 7.23 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan menggunakan ambulans hospital dari sebuah klinik di Puncak Alam.
“Pengadu dan doktor pakar kecemasan telah memberikan rawatan pernafasan serta ubatan selama 22 minit, namun bayi tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda bernafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata ibu bayi itu yang turut membuat laporan polis memaklumkan bahawa dia menerima panggilan daripada pengasuh berkenaan pada 5.40 petang berhubung keadaan bayi itu.
“Menurut pengasuh, bayi itu terjatuh mengiring sebelah kanan dan dalam keadaan sesak nafas. Pengasuh telah bertindak membawa bayi tersebut ke sebuah klinik di Puncak Alam,” katanya.
Mohd Hafiz berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan laporan bedah siasat diperolehi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Balai Polis Saujana Utama dengan menelefon 03-60382222 atau hubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Aizad Abd Azik menerusi talian 013-4861194 atau di balai polis berdekatan.