KOTA BHARU: Bekalan santan di Kelantan dalam keadaan terkawal namun berlaku peningkatan harga susulan kerosakan buah kelapa akibat kesan serangan kumbang merah, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail.

Beliau berkata kenaikan harga ini berpunca daripada pengurangan hasil kelapa yang menjejaskan bekalan santan di pasaran.

“Walaupun begitu, harga maksimum santan telah ditetapkan pada kadar RM17.50 sekilogram dan KPDN akan memastikan tiada peniaga yang menjual melebihi harga itu.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan mengenai bekalan santan di negeri ini namun jika terdapat laporan mengenai pencampuran bahan dalam santan, sampel akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis sebelum tindakan diambil,” katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra bagi pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata KPDN menjalankan pemantauan ketat setiap hari di pasar rakyat bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah SHMMP 2025, yang berkuat kuasa dari 24 Mac hingga 7 April ini.

“Sebanyak 143 pegawai penguat kuasa dan 45 pegawai pemantauan telah ditugaskan untuk memeriksa harga dan bekalan santan sepanjang tempoh perayaan termasuk pada Hari Raya Aidilfitri.

“Walaupun ketika cuti raya, pegawai kami tetap bertugas. Mereka yang berada di bilik kawalan akan menerima aduan daripada orang ramai dan setiap aduan akan disiasat dalam tempoh dua hingga empat jam,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar lebih berwaspada dalam berbelanja dan sentiasa memeriksa harga sebelum membeli, terutama dalam suasana perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan terhadap barangan keperluan.

“Sebarang aduan mengenai ketidakpatuhan skim harga, termasuk harga santan yang melebihi kadar maksimum, boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,“ katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim.