SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting Lau Weng San dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Lau dipilih selepas mendapat 34 undi mengalahkan Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Selangor Dr Mohd Fuad Mohd Salleh yang menerima 22 undi.

Setiausaha DUN Selangor J Gayathri Prasena memaklumkan undi sulit pada mesyuarat pertama penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Dewan Negeri Selangor dijalankan, berikutan terdapat dua nama calon Speaker yang dikemukakan.

Sementara itu, ADUN Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN selepas mendapat 34 undi, mengalahkan ADUN Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah menerima 22 undi.

Lau kemudian mengisytiharkan Mohd Kamri Kamaruddin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor selepas undi sulit dilakukan berikutan dua calon untuk jawatan itu dikemukakan.

Pada persidangan itu juga, 56 ADUN mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah, didahului Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan diikuti 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) serta ADUN lain. - Bernama