BUTTERWORTH: Seorang bekas ejen perumahan didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menipu seorang individu dalam urusan pembelian rumah Skim Perumahan My Home pada 2022.
Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut selepas A. Thirumurthi, 45 tahun, mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan kepadanya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 19 bulan sekiranya beliau gagal membayar denda yang dikenakan.
Thirumurthi mengaku menipu G. Muralidaran, 32 tahun, dengan memperdayakan mangsa kononnya beliau terlibat dalam penjualan unit rumah di bawah Skim Perumahan My Home Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bernilai RM198,000.
Muralidaran kemudian memasukkan wang berjumlah RM7,393.60 menerusi lima transaksi ke dalam akaun bank tertuduh kerana mempercayai dakwaan palsu tersebut.
Transaksi-transaksi tersebut dilakukan di sebuah cawangan bank di Bertam antara 24 September hingga 31 Oktober 2022.
Kelima-lima pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Noor Azura Zulkiflee dan Muhammad Syahmi Mohd Sanusi.
Thirumurthi tidak diwakili oleh mana-mana peguam semasa prosiding mahkamah berlangsung.
Noor Azura memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Tertuduh merayu hukuman denda minimum dengan alasan kini bekerja sebagai pemandu e-hailing berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.
Beliau juga perlu menanggung ibu, isteri dan tiga anak serta menghidap beberapa penyakit termasuk masalah jantung.
Hakim Zulhazmi menjatuhkan hukuman denda RM8,000 atau penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama dan denda RM3,000 atau penjara tiga bulan bagi pertuduhan kedua.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, mahkamah mengenakan denda RM5,000 atau penjara empat bulan manakala pertuduhan kelima didenda RM2,000 atau penjara dua bulan. – Bernama