• 2025-09-19 10:19 AM

MUAR: Seorang bekas juruteknik berusia 32 tahun telah direman selama tujuh hari kerana disyaki membakar rumah dan kenderaan milik ahli keluarganya serta mencederakan bapanya sehingga memerlukan rawatan hospital.

Mahkamah Majistret di sini membenarkan reman suspek yang disyaki mengalami masalah mental dan positif dadah sehingga Rabu depan bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Proses reman dilakukan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah kerana suspek masih menerima rawatan akibat kecederaan dan memerlukan pemantauan berkaitan masalah mental.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata insiden berlaku pada 9.43 pagi Rabu di Kampung Tengah, Jalan Bakri apabila suspek memukul dan melibas bapanya berusia 70 tahun dengan rotan serta pisau.

Beliau menyatakan suspek didapati positif dadah jenis metamfetamina dengan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 436 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kebakaran dalam kejadian itu turut memusnahkan sebuah motosikal dan kereta dengan anggaran kerugian mencecah 150,000 ringgit. – Bernama