• 2025-10-08 09:08 PM

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat pembuatan didakwa di tiga Mahkamah Sesyen hari ini atas 41 pertuduhan menyebabkan pemindahan wang berjumlah RM16.35 juta.

Tertuduh Choong Lee Aun, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan tiga hakim berbeza.

Mengikut pertuduhan, beliau sebagai pengarah AT Systematization Berhad didakwa menyebabkan syarikat memindahkan wang kepada Delta Million Dynamic Sdn Bhd dan Midas Mode Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Kota Damansara antara 20 Jun 2020 hingga 30 Nov 2021.

Kes itu didakwa mengikut Subseksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun serta denda tidak melebihi RM10 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Shoba Venu Gobal memohon jaminan RM3 juta dengan enam penjamin.

Pihak pendakwaan juga memohon tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri di Pejabat SC setiap bulan.

Peguam tertuduh Nicholas Cheoh memohon jaminan dikurangkan kerana perlu menyara keluarga dan mempunyai masalah kesihatan.

Beliau menyatakan tertuduh pernah menjalani tiga pembedahan angioplasti dan pulang ke Malaysia secara sukarela sebelum ditahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 7 November ini.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM420,000 dengan enam penjamin warga tempatan.

Syarat tambahan yang dimohon pendakwaan juga diluluskan mahkamah. – Bernama