Your Title

KUALA LUMPUR: Bekas pengurus jualan sebuah syarikat pemborong beras mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang syarikat itu tahun lepas.

Chew Soon Lung, 48, didakwa melakukan perbuatan itu di Syarikat Hock Ju Edar Sdn Bhd membabitkan wang berjumlah RM82,859.50 yang sepatutnya diserah dan dimasukkan ke dalam akaun syarikat dari 4 Jan hingga 12 Sept 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya R. Harvind menawarkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai manakala Chew, yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan rendah atas alasan dia tidak bekerja dan perlu menanggung keluarga.

Hakim Azrul Darus membenarkan Chew diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan 17 Okt ini untuk sebutan kes bagi melantik peguam.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, bekas penolong pengurus stor dan bekas penyelia sebuah kedai pakaian minta dibicarakan atas pertuduhan pecah amanah baucar pelanggan serta wang hasil jualan dua bulan lepas.

Muhammad Nor Amalludin Osman, 30, dan Muhammad Hadif Roslan, 27, didakwa melakukan perbuatan itu membabitkan wang berjumlah RM4,950 di sebuah kedai pakaian di Dang Wangi di sini pada 6 dan 27 Julai lepas.

Harvind menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh serta syarat tambahan serupa.

Peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab, yang mewakili Muhammad Hadif, memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh kini bekerja sebagai jurujual dengan pendapatan RM2,300 sebulan dan perlu menanggung keluarga manakala Muhammad Nor Amalludin, yang tidak diwakili peguam, mengemukakan rayuan sama.

Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 29 Okt untuk sebutan kes.