KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus stor sebuah kedai serbaneka dihukum penjara sehari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai lebih RM7,000 milik syarikat kedai serbaneka itu.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Norhafiza Amin Nordin, 36, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini serta dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Norhafiza didakwa mencuri wang berjumlah RM7,874.15 untuk kegunaannya sendiri di sebuah kedai serbaneka di Jalan Imbi di sini, pada 18 Dis 2018, mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 18 Dis 2018, sekitar 12 tengah hari, pengadu iaitu pengurus bahagian kedai berkenaan dihubungi seorang pekerja kedai yang melaporkan tertuduh membuka peti simpanan wang pada 9 pagi dan mengambil wang jualan sebelum membawa wang itu ke bilik belakang dengan alasan untuk pergi ke bank.
Namun setelah tiga jam tertuduh tidak kembali ke kedai, pekerja terbabit menghubungi pengadu.
Pengadu kemudian pergi ke kedai untuk memeriksa situasi dan mendapati wang hasil jualan sebanyak RM7,874.15 telah diambil oleh tertuduh dan tidak dimasukkan ke dalam akaun syarikat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Haniff Ahijman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun Norhafiza yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga.
“Saya amat menyesal atas perbuatan saya dan berjanji tidak akan mengulangi perkara sama. Saya juga memohon mahkamah memberikan hukuman penjara dan denda yang ringan kerana saya mempunyai tanggungan serta anak berusia empat bulan yang masih menyusu,“ katanya.