SABAK BERNAM: Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang bakal berakhir serta pelaksanaan agenda reformasi pendidikan dalam negara antara fokus Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2025.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata pihaknya sudah mendapatkan input daripada pihak berkepentingan untuk memastikan pembentangan dokumen penting negara itu mencakupi perkara yang diperlukan dalam memperkasakan sektor pendidikan.

“Keutamaan kita di KPM tertumpu kepada pembangunan sekolah, fasiliti dan keperluan lain yang penting bagi diselaraskan dengan agenda reformasi pendidikan.

“Perkara lain yang turut diberi perhatian termasuk peluasan kelas prasekolah yang kita lihat sebagai satu pendekatan penting bagi menangani isu keciciran dan malnutrisi dalam kalangan anak-anak serta program intervensi anak-anak berkeperluan khas, STEM digital dan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasa Bahasa Inggeris,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan projek KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap di sini hari ini.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Okt ini.

Fadhlina berkata sebanyak 710 daripada 1,075 sekolah daif di seluruh negara siap dibaik pulih setakat Ogos ini dengan 164 sedang dalam pembinaan, manakala 201 sekolah dalam proses prapembinaan.

Beliau berkata KPM dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya sentiasa memantau keadaan sekolah di seluruh negara bagi memastikan anak-anak dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam suasana selamat serta kondusif.

Berhubung penularan wabak mpox, Fadhlina berkata pihaknya sentiasa bersedia dan menjadikan input daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai garis panduan dalam membuat perancangan menangani perkara itu.

“Dari segi persiapan kita sentiasa bersedia ... kita turut mendapat nasihat daripada KKM dan berpandukan garis panduan pihak kesihatan, kita akan maklumkan sebarang tindakan kepada sekolah dari semasa ke semasa,“ katanya.